My Photo
Powered by Friendster Blogs
Member since 07/2005

Monday, 28 January 2008

Masuk Universiti!

Waktu itu aku di rumah tok*Esah di Keramat**. Tok tinggal dengan Mak Lang yang sakit sejak kecil. Arwah tok wan telah 8 tahun meninggalkan kami.

Aku buat keputusan untuk tinggal di rumah tok selama seminggu kerana memikirkan 28 Jun adalah ambilan pertama UTM, pastinya surat tawaran akan tiba lebih awal dan aku perlu membuat beberapa persiapan. Hari itu baru 5 Jun, ada kurang sebulan.

Sejak dari kecil, jika aku ke rumah tok di Keramat, aku sangat berharap makcik Tipah ada. Tapi makcik Tipah waktu itu tidak ada. Jadi, tak dapatlah aku berjalan-jalan di Kuala Lumpur. Orang kampung macam aku bukan tahu jalan di Kuala Lumpur, lebih-lebih lagi cerita jenayah yang pelbagai..nak jalan sorang-sorang jangan harap!

Duduklah aku terperap di rumah tok. Paling jauh aku akan ke Pasar Dato' Keramat. Mujur ada juadah yang pelbagai dan majalah serta surat khabar yang boleh dibeli.

Melayan kebosanan, aku minta izin pada tok untuk membuat panggilan ke Perlis, manalah tahu surat tawaran tiba di rumah hari itu. Selepas menerima jawapan negatif, aku cuba buat panggilan pada kawan sekolah, Sham. Saat itu Sham ada di Cybercafe. Mujur ayah Sham pinjamkan telefon tangan dengan nombor mula 010.

"Kau dah cek belum? Dapat tak?" tengah perbualan kami.

"Aku tak dapat lagi" kami berdua risau, kerana aku tersalah isi borang UPU, konon kerana nak menurut kata hati mahu ke UTM melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan yang agak glamour masa tu (di samping harapan agar lebih dekat dengan kekasih hati waktu itu!). Sham lebih risau kerana dia hanya lulus pangkat 2 SPM selepas mengikuti kelas tusyen khas dalam beberapa subjek termasuk motivasi, dan antara gurunya aku!

"Tolong cek yang aku" pinta aku pada Sham.

Selesai mengisi nombor kad pengenalan, Sham maklumkan pada aku "Kau dapat Diploma Perhutanan, UPM".

"Hah? Macam mana boleh dapat UPM. Aku isi semua UTM! Kau silap isi kot? Cuba cek sekali lagi" aku tak puas hati.

Selepas membuat semakan semula, nyatalah itu bidang yang aku dapat. Dan aku perlu mendaftar 7 Jun 2000! Hanya esok lusa!

Aku hubungi rumah di kampung maklumkan 'berita sedih' tersebut. Sedih bukan kerana aku akan berpisah dengan keluarga, tapi kenapa Diploma Perhutanan? Kemudian aku hubungi Pak Su minta tolong dapatkan tiket pulang ke Perlis selepas memaklumkan khabar tersebut. Aku baru 3 hari di sini...

Alhamdulillah tiket ada. Bas aku jam 1030 malam. Petang itu aku kemas pakaian. Perlahan. Hati aku rasa sangat tak best.

Selesai solat dan makan malam, paksu bawa aku ke Hentian Duta. Jam 930 malam. 6 Jun hari lahir adik aku, Naim dan orang yang aku sayang waktu itu (senang cakap awek aku la!). Sampai pagi jam 5.30 aku mandi dan rehatkan badan. Usai Subuh aku baring sekejap dan kemudian sarapan. Emak telah aturkan temujanji untuk medical check-up. Mujur emak seorang jururawat!

Selesai medical check-up, ayah bawa beli beberapa keperluan untuk dibawa bersama dan diguna semasa mengharungi kehidupan kampus. Dari kecil aku jarang meminta, sedar akan kemampuan keluarga. Tapi ayah tanya cukup atau tidak pakaian aku. Aku sebenarnya tak mahu susahkan ayah, tapi aku memang tidak ada pakaian yang cukup.

"Berpadalah dulu dengan dua pasang pakai formal" kata aku pada ayah. Lemah. Mujur keperluan sukan aku cukup, duit elaun dari kegiatan sukan dan permainan aku masa sekolah ada aku gunakan untuk lengkapkan keperluan sukan aku.

Waktu pulang aku minta dari ayah untuk turunkan aku di bandar Kangar. Waktu itu jam 4. Aku janji untuk jumpa dia sekejap sekitar jam 4.30. Sebelum tu aku mahu jumpa kawan-kawan di restoran biasa atau cybercafe di bandar.

"Balik dengan apa?" tanya ayah.

"Bas, dalam jam 5.45" jawab aku.

Entah kenapa petang itu tidak ada seorang pun rakan-rakan yang muncul. Semua bercuti kerana keputusan tawaran belum diumumkan. UPM memang awal, jauh awal dari kampus lain.
Yang ada hanya Eppy, itu pun kerana restoran di bawah cybercafe tersebut milik keluarganya.
Aku hanya tinggalkan pesan salam buat rakan-rakan, terima kasih dan minta maaf dan halal segalanya.

Eppy terkejut juga mendengar tawaran yang aku terima. Bukanlah kerana terlalu gah keputusan peperiksaan aku, tapi di kalangan kami mungkin aku antara yang di depan. Jika nasib aku begitu, mereka bagaimana?

Aku jumpa dia di perpustakaan, tempat biasa untuk dia yang cemerlang dalam SPM. Dialah sebahagian inspirasi yang memulihkan keputusan peperiksaanku. Mujur aku cukup disiplin. Soal hati tak pernah jadi bahan perbincangan untuk 6 bulan akhir persediaan aku menghadapi SPM. Usai Ragbi MSSM 1999 di Pekan, Pahang aku minta dia jadi penunjuk ajar.

Dalam proses persetujuan disiplin, aku cuma pinta dari keluarga dan dia untuk 2 perkara - 1) Masuk pertandingan catur merdeka hanya untuk peringkat negeri kerana jika tahun itu aku kekal juara, Piala Pusingan akan aku simpan selamanya - dan itulah yang aku lakukan! 2) Aku mahu akhiri perjuangan muzik - medium luah ras aku waktu itu - dengan gig yang dijadualkan pada hari akhir pertandingan catur - dan aku sempurnakan juga.

Tak sangka di perpustakaan aku jumpa jiran setaman, dihulurkan pada aku RM10 sebagai tanda ucapan tahniah. Anaknya Ketua Pengawas di sekolah kami, kawan baik aku dari kalangan wanita waktu tadika.

Kami jumpa tidak lama, tidak ada janji yang besar untuk dikota, masing-masing hanya berharap setia dan moga jumpa lagi di masa akan datang. Dia dan Erni (selalunya kami berempat dengan Sham) masih tidak menerima apa-apa tawaran. Sebetulnya aku juga tidak menerima apa juga surat, sekadar melalui internet.

Petang itu aku sampai rumah jam 6, rupanya emak buat jamuan kecil-kecilan untuk saudara mara dan jiran terdekat! Aduh, emak tak bagitau pada aku kalau tak aku akan pulang lebih awal. Banyak juga jiran-jiran menghulurkan tahniah dan duit belanja - tanda galakan. Aku terima dengan hati yang tawar, bukan kerana tak sudi tapi hati aku belum bersedia untuk semua ini.

Aku tak ambil masa lama, terus masuk ke bilik dan mengemas pakaian..air mata bergenang...

Malam itu lepas Isya' kami sekeluarga bertolak ke Kuala Lumpur. Entah kenapa bila kereta melintas port aku dan kawan-kawan menimbus masa, air mata aku tidak tertahan. Tumpah.
Aku rendahkan topi yang aku sarung di kepala..aku tak mahu sesiapa tahu perasaan aku saat itu.

Yang ada dalam fikiran aku saat itu adalah nasihat 'pujuk' Pak Su - "Ada sebab kenapa Allah s.w.t. pilih hang masuk UPM dan buat bidang Perhutanan". Itu kata yang paling aku ingat. Lain-lain pujuk Paksu tidak berbekas. Sekadar menjustifikasikan kepentingan bidang Perhutanan.

Malam itu, 7 jam perjalanan dalam kereta aku memujuk diri. Sebagai anak tunggal yang belajar di Universiti setakat ini dan membuah senyum di bibir keluarga, aku harus terus berjuang di medan ini.

....bersambung

                            

Sunday, 16 December 2007

Cuti Semester dan Raya Haji

"Hidup mesti terus!"

Salam.

Sekarang cuti semester; dah nak habis dah pun. Tapi aku belum balik ke kampung halaman kerana ada beberapa urusan yang nak disudahkan.

Esok aku akan pulang ke Perlis sebaik sahaja urusan aku dan bank selesai. InsyaAllah akan bercuti sehingga 23 Disember 2007 (hari lahir adik aku yang bongsu). Memandu kereta ke Perlis biasanya memakan masa sekitar 7 jam. Kos minyak dan tol boleh mencecah sekitar RM150 sehala. 22 Disember kami sekeluarga akan bertolak ke Kuala Kangsar untuk menghadiri kenduri di sana.

24 Disember akan bermula semester baru, dan aku pasti lebih sibuk kerana semester depan aku akan membentangkan kertas kerja cadangan kajian ilmiah untuk Sarjana. Di samping itu aku akan bergelut dengan beban kredit yang lebih serta tugasan berkaitan pengambilan data bagi kajian ilmiah yang akan aku buat.

Friday, 14 December 2007

Tentang Aku

"And again it's me, myself and I.." sebahagian lirik lagu Girl Friday dendangan kumpulan Butterfingers yang jadi hiburan zaman remaja aku.

Kolum 'Private Sphere' ini adalah kolum untuk aku menulis hal-hal bersifat aku. Mungkin lebih banyak cerita sehari-hari tentang apa yang aku buat. Menulis adalah bahagian terapi untuk aku.

Sebagai tulisan awal di blog peribadi ini, aku rasa elok untuk aku kenalkan sedikit sebanyak latar belakang diri aku.

Nama aku mengikut sijil kelahiran, kad pengenalan dan lesen memandu, seperti yang telah dipilih oleh kedua ibu bapa aku - Noor Amin bin Ahmad. Dilahirkan pada 20 Februari 1982 di Hospital Besar Kangar, Aku adalah anak ketiga daripada 6 orang adik beradik.


Ayah, Ahmad bin Abdullah lahir pada 15 Oktober 1951. Ayah bekerja di banyak tempat dan yang terakhir di Mahkamah Tinggi Negeri Perlis. Kini telah bersara dan meneruskan kerja professional sebagai Pesuruhjaya Sumpah. Emak, Tengku Hamidah binti Mas Abdullah Akhir lahir pada 15 Mac 1950 dan kini adalah seorang pesara jururawat.

Abang sulung aku Noor Ariff bin Ahmad, lahir pada 31 Disember 1975 dan kini bekerja di Singapura. Sebelum ini dia pernah bekerja dalam pelbagai lapangan di Kuala Lumpur dan pekerjaan yang paling glamour sudah tentu sebagai pelukis majalah Boom dengan nama kartunisnya Eye (sebuah majalah kartun terbitan Ahadiat Akashah) dan sebagai pelukis di majalah Ujang (dengan nama kartunisnya Gandum).

Arwah kakak - Puteri Noor Akhmar binti Ahmad meninggal pada ketika umur aku 5 tahun. Jika dia masih hidup, usianya lebih 2 tahun daripada aku. Meninggal kerana demam panas. Al-Fatihah.

Aku punya 3 adik - 2 lelaki dan seorang perempuan. Adik aku yang pertama - Noor Akhbar bin Ahmad, lahir pada 26 Jun 1985. Akhbar menghidap sakit sawan sejak berusia 4 bulan. Seterusnya Mohamad Naim bin Ahmad, 6 Jun 1988 dan adik bongsu aku Puteri Noor Liyana binti Ahmad, 23 Disember 1990.

Aku tinggal dan membesar di Perlis sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia sejak tahun 2000 - Diploma Perhutanan, Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan dan kini Master Sains (Pengurusan Taman dan Rekreasi).

Minat aku pada soal kemanusiaan dan hal-hal yang bersangkutan dengannya. Dalam banyak masa aku habiskan untuk berinteraksi - maya atau nyata, serius atau santai, membaca, outdoor, muzik, menonton dan berfikir tentang persoalan ilmu dan isu semasa.

Selamat Datang

"Mata pena lebih tajam dari mata pedang"

Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera. Terima kasih kerana singgah di laman ini.

Notes From 'Township' (NFT) ini distrukturkan semula agar persembahan penulisan aku harapnya akan lebih baik. Kegiatan menulis aku sebenarnya telah bermula lama, waktu aku sendiri tidak faham akan kepentingannya.

Lebih dari sekadar soal diri, NFT akan memuatkan tulisan-tulisan aku dalam keluasan lapangan hidup seharian. NFT akan mewakili sisi pandangan aku, justeru insyaAllah ia tidak akan bersifat 'copy and paste'.

Meraikan kepelbagaian, aku percaya penyatuan hanyalah kepada sistem yang mendokong Kemuliaan Insan dan Kewibawaan Ilmu. Dari hal ini, maka kebebasan bersuara dan hak berpendapat adalah keutamaan yang aku pegang.

Sudah pasti tulisan-tulisan yang termuat di sini adalah pandangan peribadi, tidak mewakili mana-mana pertubuhan atau organisasi, dan cukup terbuka untuk direspon (yang harapnya membina dan mewakili semangat Kemuliaan Insan dan Kewibawaan Ilmu).

Sekian, selamat berlayar!

Amin Ahmad

+6012-4667658

siswa_nahdah@hotmail.com